Tuesday 11 October 2016

HARI SUKAN NEGARA 2016

Sambutan Hari Sukan Negara telah di isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Sambutan Hari Sukan Negara ini merupakan suatu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro aktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). 

Oleh yang demikian, Hari Sukan Negara di jadikan agenda nasional yang selari dengan matlamat negara ke arah Wawasan 2020. Pada tahun 2016 ini, sambutan Hari Sukan Negara bakal diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan Sambutan Hari Sukan Negara tersebut yang akan diraikan secara serentak di seluruh pelusuk tanah air. 

Semoga budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu warga SRAB Muar terus kekal sihat dan cergas







BERSAMA EN MARISAM B HAMID







HAPUS DENGGI , SIFAR ZIKA

Warga SRAB turut bersama dalam menjayakan Mini Gotong Royong bersama komuniti setempat selepas bersukan bersama.




.

Friday 7 October 2016

The Sky's The Limit Programme

Pelancaran Program The Sky's the Limit....

Sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia, SRAB Muar melancarkan satu program untuk memperkasakan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid di sekolah ini.

Program ini berlangsung pada 6 Oktober 2016 dan dirasmikan oleh wakil rasmi YB Dato Hasan Johari iaitu, En Radzi Amin. 



Beberapa pertandingan turut diadakan untuk merealisasikan objektif program iaitu  "Reciting Poem, Spell It Right, Action Song, Story Telling, Broken Telephone & Public Speaking"









Thursday 6 October 2016

MAJLIS PERUJIAN TILAWAH ALQURAN PERINGKAT NEGERI JOHOR 2016

TAHNIAH!!!!

Majlis Perujian Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Johor 2016 di Batu Pahat.

Semoga kejayaan ini berterusan....





SUKAN TAHUNAN SRAB MUAR 2016


 WARNA-WARNI SUKAN TAHUNAN SRAB MUAR 2016


Berkat kesungguhan dan semangat kesukanan antara seluruh warga SRAB MUAR, Hari Sukan Tahunan  telah diadakan dengan jayanya. Para guru, kakitangan serta murid-murid telah bekerjasama bagi menjayakan acara sukan tahun ini pada hari KHAMIS, 29 Sept 2016.
Acara bermula seawal jam 8.00 pagi. Acara dimulakan dengan perbarisan rumah sukan dan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Tuan Guru Besar, En Mohd Sanusi b Rahiman. 
Setelah itu, pertandingan keceriaan rumah sukan dan acara sukan pun bermula. 
Konsep sekolah yang bersepadu dan seimbang antara akademik, sahsiah dan juga kesihatan diri murid dilihat dapat memenuhi sasaran visi, misi dan falsafah pendidikan.
Antara acara yang dipertandingkan adalah acara larian 50m, 100m, 200m, 4x100m, lompat tinggi, lontar peluru dan lompat jauh.
 Akhir sekali,  rumah sukan Saidina ALI (rumah Biru) telah menjadi juara keseluruhan untuk Hari Sukan Tahunan pada tahun ini.
Sekalung terima kasih diucapkan kepada semua warga SRAB yang menjayakan majlis kali ini. Semoga pada masa akan datang, penambahbaikan dapat dilakukan dan kerjasama ini dapat mengeratkan lagi perhubungan antara kita. 
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Semoga segala usaha murni ini diberkati Allah.














NAMA-NAMA MANTAN GURU BESAR SRAB MUAR

Bil
Nama
Bermula
Sehingga
1
Kassim Bin Ibrahim
4 / 1 / 1999
11 / 6 /1999
2
Mohd Hapip Bin Othman
14 / 6 / 1999
19 / 11 /1999
3
Sairozi Bin Haji Subahir
17 / 1 /2000
31 / 12 / 2008
4
Zarkasi Bin Mustakin
1 / 1 / 2009
31 / 5 / 2009
5
Mohd Romli Bin Haji Ali
1 / 6 / 2009
27 / 3 / 2016

OBJEKTIF SR AGAMA BERSEPADU MUAR


Dengan adanya komitmen guru-guru sekolah akan:

  • Memastikan pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Sijil Darjah Enam Agama ke tahap 90 peratus.
  • Memastikan semua aktiviti  kurikulum dan ko-kurikulum terurus dengan sempurna dan berjalan mengikut jadual / takwim.
  • Menyediakan iklim sekolah yang ceria, bersih dan sihat.
  • Melahirkan muridyang berdisiplin dan bersahsiah.
  • Melaksanakan sebaik mungkin program pendemokrasian pendidikan.

PIAGAM PELANGGAN

PIAGAM PELANGGAN

SEK REN AGAMA BERSEPADU MUAR


  • Memberi layanan yang saksama, telus dan mesra kepada semua pelanggan.



  • Berusaha dengan penuh kesungguhan untuk melaksanakan pendidikan bersepadu dan sistematik dalam tempoh 6 tahun.

  • Memberikan perkhidmatan yang cekap, tepat, cepat, beretika dan menepati masa.

  • Memveri pendidikan yang berkesan selaras dengan objektif pengajaran dan pembelajaran .

  • Bersedia menerima cadangan dan teguran yang membina daripada semua pihak.


  • Melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji.

  • Memberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi yang mantap dan seimbang.

  • Mewujudkan iklim sekolah yang kondusif dan selamat.

Friday 16 September 2016

SLOGAN SRAB MUAR


LAGU SRAB MUAR

LIRIK LAGU SEKOLAH SRAB MUAR

SRAB Muar Sekolah Kebangaan Kami
Gedung Ilmu Penuh Aspirasi

Bentuk Generasi Berakhlak Terpuji
Sentiasa Berjasa Berbakti
Medan Juang Putra Da Putri


c/o
Kami Sanjung Jasamu Oh Guru
Tunjuk Ajarmu Kan Kuingat Selalu
Doa Ibu Bapa Iringi Sentiasa
Semangat Tinggi Tertanam Dijiwa


Sekolah Ungul Penjana Generasi Terbilang
Menjadi Misi Sekolah Kami
Tuju Inspirasi, Minda Bestari
Menjunjung Budaya Cemerlang
MengaNgkat Martabat Gemilang


Mari Bersama Genggam Keyakinan
Pupuk Keimanan Tempa Kejayaan
Mari Bersama Tingkat Keazaman
Cipta Kehebatan sepanjang Zaman 





LIRIK  : JULIAHISHAR
LAGU    : FIRDAUSZAKEYUDDIN





FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA


FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA



Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu yang melahirkan insan yang seimbang dan 
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan 
jasmani berdasarkan kepercayaan dan 
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini 
adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara 
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, 
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan 
mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.


LOGO SRAB MUAR

LOGO SEKOLAH



PENGERTIAN LOGO SEKOLAH


BENTUK

                  1. Bintang berbucu lima (5)        : Menunjukkan rukun Islam ada 
                                                                      lima perkara.
                  2. Bulan sabit                            : Melambangkan agama Islam.
                  3. Bentuk bulatan                      : Melambangkan kesepaduan.
                  4. Bulan sabit di atas reben 
                       bertulis moto sekolah       
                                                                   : “MEMBENTUK INSAN 
                                                   BERTAQWA”


WARNA

                   1. Hijau                : Melambangkan kerjasama.
                   2. Merah              : Melambangkan keberanian serta 
                                                 maju ke  hadapan.
                   3. Biru                  : Melambangkan keharmonian.
                   4. Putih                : Melambangkan kesucian.
           5. Kuning             : Melambangkan kemuliaan darjah-         darjah    kebesaran Sultan yang      
                                        berdaulat sebagai Yang Dipertua dan penaung rakyat  serta menjadi Ketua Hal Ehwal Agama.




SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH RENDAH AGAMA BERSEPADU


 SEK REN AGAMA BERSEPADU KERAJAAN JOHOR

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kerajaan Johor mula diperkenalkan di Negeri Johor hasil dari keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Johor, Ringkasan Mersyuarat (RM) Bil. 2226/98.
Justeru, pada 4 Januari 1999, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kerajaan Johor telah memulakan sesi persekolahannya yang pertama di lapan buah sekolah di seluruh negeri Johor dengan sebuah sekolah di setiap daerah. Daerah-daerah tersebut ialah Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Johor Bahru, dan Pontian.

Murid-murid SRAB Kerajaan Negeri Johor adalah terdiri daripada lepasan tadika-tadika di seluruh daerah. Syarat dan kelayakkan untuk belajar di SRAB ialah dengan menduduki ujian penilaian secara lisan dan bertulis ketika murid berada di tadika dan berusia 6 tahun.Ujian ini dijalankan pada akhir bulan Julai setiap tahun. Pemilihan murid dijalankan dengan mengambil kira keputusan ujian yang tertinggi iaitu 80 orang murid yang memperolehi markah terbaik akan dipilih serta diterima untuk belajar di SRAB,

Kerajaan Negeri Johor telah melakar sejarah apabila telah berjaya melaksanakan sistem pendidikan satu sesi bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 4.30 petang. Sistem pembelajarannya adalah bersepadu antara pendidikan akademik dan pendidikan agama. Sukatan pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diambil sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, manakala sukatan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) diambil daripada Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor.

Di samping itu, SRAB Kerajaan Negeri Johor tidak terkecuali untuk melaksanakan aktiviti Ko-kurikulum sebagaimana yang telah dijalankan di sekolah-sekolah kebangsaan Kementerian Pendidikan sama ada dari segi sukatan dan pelaksanaannya.Pihak sekolah juga telah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah dalam melaksanakan aktiviti yang dianjurkan oleh pihaknya. Begitu juga, SRAB Daerah tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Agama Daerah Muar.

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SRAB DAERAH MUAR

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Daerah Muar terletak di Sungai Abong, lebih kurang 6 km dari Bandar Muar. Bangunannya terletak bersebelahan Sekolah Agama Sungai Abong dan Pejabat Pendidikan Agama Daerah Muar. Kedudukannya juga berhampiran dengan Masjid Jamek Sungai Abong, Sekolah Menengah Teknik Muar, dan Jabatan Pengangkutan Jalan Muar.

Pada awal penubuhannya, pada tahun 1999, SRAB Muar mempunyai 80 orang murid Tahun Satu  yang melibatkan 2 buah kelas, 6 orang tenaga pengajar termasuk Guru Besar, dan seorang Pembantu Tadbir. Setiap tahun berlaku penambahan kuota murid sebanyak 80 orang untuk 2 buah kelas dan 5 orang tenaga pengajar. Sehingga tahun 2006, jumlah keseluruhan murid adalah seramai 451 orang melibatkan 12 buah kelas (Tahun 1- 6) dan 30 orang tenaga pengajar.

Selama tiga tahun (1999-2001) pentadbiran dan persekolahan,  SRAB Muar telah menumpang di bangunan Sekolah Agama Sungai Abong sehingga akhir tahun 2001. Berbagai-bagai dugaan dan cabaran terpaksa dihadapi oleh seluruh warga SRAB dalam membangunkan institusi pendidikan secara bersepadu ini. Namun, keyakinan dan sokongan padu daripada semua pihak, maka, SRAB dapat terus bertahan sehingga ke hari ini.

Pada peringkat awal, pembinaan bangunan SRAB Muar dicadangkan akan dibina di Parit Keroma Muar. Walau bagaimanapun implikasi dari komitmen dan keperihatinan semua pihak, khususnya Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor, kini SRAB Muar telah memiliki bangunan sendiri yang pada asalnya bangunan tersebut adalah bangunan tambahan hak milik Sekolah Agama Sungai Abong. Bangunan ini telah diserahkan secara  rasmi oleh Kerajaan Negeri Johor  kepada pentadbiran SRAB Muar pada akhir tahun 2001. Oleh yang demikian, SRAB Muar telah berpindah ke bangunan baru dan memulakan pentadbiran di bangunan sendiri pada awal tahun 2002.

Bermula dari tahun 2002 sehinggalah sekarang, SRAB Muar mengorak langkah ke hadapan dengan lebih cemerlang apabila dapat melaksanakan segala urusan pentadbiran, sesi pengajaran dan pembelajaran di bangunan sendiri.

Dalam sejarah pentadbiran, SRAB Muar pernah ditadbir oleh 5 orang Guru Besar, iaitu En. Kassim bin Ibrahim (Januari – Mei 1999), En.Mohd. Hapip bin Othman (Jun – Disember 1999), En. Sairozi bin Subahir (2000 - Disember 2008), Tn Hj Zarkasi b Hj Mustakim (Januari – Mei 2009) dan Tn Hj Mohd Romli b Hj Ali (Jun 2009 – sekarang). Selain daripada itu, tenaga pengajar juga silih berganti. Sehingga hari ini,  jumlah tenaga pengajar yang pernah berkhidmat di SRAB Muar adalah seramai 47 orang.

Sekiranya mengikut kuota murid, jumlah keseluruhan murid sehingga Tahun 1 hingga Tahun 6 ialah seramai 480 orang, namun, oleh sebab berlaku perpindahan dan keluar masuk murid, maka jumlah  keseluruhan murid  sehingga hari ini adalah seramai 460 orang sahaja.  

Pada tahun 2010, SRAB Muar mempunyai seramai 31 orang kaki tangan. Mereka terdiri daripada Guru besar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, 26 orang Guru Penolong dan seorang Pembantu Tadbir.

 Tenaga-tenaga pengajar SRAB Muar adalah terdiri daripada 9 orang pegawai lelaki dan 21 orang pegawai perempuan.  Mereka adalah Pegawai-pegawai Pendidikan Lepasan Diploma Pendidikan dari Maktab-maktab Perguruan dan Kolej Islam Johor. Daripada jumlah 30 orang pegawai-pegawai tersebut, terdapat 26 orang pegawai bergred DGA 29 (Tetap dan Berpencen) dan 2 orang pegawai bergred DB 17 (Kontrak).

 Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara, serta galakan dari pihak Jabatan Pendidikan Agama Johor bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan pendidikan para pegawainya, maka kini terdapat  tenaga pengajar di sekolah ini sedang mengikuti program Sarjana Muda masing-masing tiga orang di UTM Skudai Johor, seorang di OPEN Universiti dan tiga orang di Universiti Kebangsaan Malaysia.


SRAB MUAR KE MERCU KEJAYAAN

Pada tahun 2004, untuk julung-julung kalinya murid-murid SRAB Muar telah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Darjah Enam Agama (SDEA). Kedua-dua peperiksaan ini telah menguji kemampuan murid dan guru-guru dalam menghadapi cabaran pendidikan bersepadu yang menuntut banyak komitmen untuk berdaya saing dengan sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.

Pencapaian UPSR

Dalam pencapaian UPSR 2004, murid-murid SRAB Muar telah berjaya mencapai keputusan cemerlang iaitu 8 orang murid daripada 64 bilangan calon mendapat 5A, 14 orang  mendapat 4A, dan 10 orang murid mendapat 3A, dengan kedudukan Gred Purata Sekolah 1.65, dan peratus keseluruhannya ialah 93.8%, manakala pada tahun 2005 seramai 16 orang murid daripada 69 orang calon mendapat 5A, 20 orang murid mendapat 4A, dan 10 orang murid mendapat 3A dengan Gred Purata Sekolah 1.52, dan peratusan keseluruhannya ialah 92.8%. Pencapaian UPSR 2006 adalah suatu pencapaian yang amat memberangsangkan dan membanggakan warga SRAB meskipun hanya 10 orang murid  daripada 73 orang calon mendapat 5A, 18 orang murid mendapat 4A dan 22 orang murid mendapat 3A, namun pencapaian Gred Purata Sekolah adalah meningkat kepada 1.51 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.6%. Sejarah pencapaian cemerlang berulang sekali lagi pada tahun 2007 di mana keputusan UPSR amat membanggakan semua pihak. SRAB Muar diumumkan mendapat tempat terbaik diantara SRAB seluruh negeri. Daripada 76 orang calon, 17 orang murid mendapat 5A, 21 orang murid  mendapat 4A, dan 15 orang murid mendapat  3A dengan pencapaian Gred Purata Sekolah meningkat kepada 1.43 dan peratusan keseluruhannya ialah 97.4%. Tahun 2008 mencatatkan keputusan yang paling membanggakan sekolah, daripada 71 calon, 22 orang berjaya mendapat 5A, 14 orang mendapat 4A 1B dan 11 orang mendapat 3A 2B dengan pencapaian Gred Purata Sekolah 1.45 dan peratus keseluruhannya meningkat kepada 100%. Pada 2009 daripada 63 calon, 10 orang berjaya memperolehi 5A, 12 orang memperolehi 4A 1B, 1 orang memperolehi 4A 1C dan 4 orang memperolehi 3A 2B dengan pencapaian Gred Purata Sekolah 1.81 dan peratus keseluruhannya ialah 98.41%.

Pencapaian SDEA

Dalam pencapaian SDEA 2004 pula, seramai 59 orang murid daripada 64 orang calon telah lulus dengan pencapaian cemerlang iaitu 22 orang, manakala tahap kepujian iaitu 37 orang, dan peratusan keseluruhannya ialah 92.2%, manakala pada tahun 2005, seramai 67 orang murid daripada 69 orang calon telah lulus dengan  hanya tiga orang sahaja mendapat keputusan terbaik 5A dan 5 orang murid mendapat 4A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.67 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.55%. dan seterusnya melayakkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Johor. Sebagaimana meningkatnya peratusan UPSR 2006 begitulah juga dengan peningkatan  peratusan SDEA 2006 yang mencapai tahap yang membanggakan. Seramai 72 orang murid daripada 73 orang calon telah lulus dengan pencapaian seorang murid mendapat 9A,2 orang murid mendapat 8A, seorang murid mendapat 7A, 4 orang murid mendapat 6A, dan 7 orang murid mendapat 5A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.02 dan peratusan keseluruhannya cemerlang iaitu 98.63%.

Pencapaian cemerlang ini berterusan sehingga tahun 2007, di mana 75 orang murid daripada 76 orang calon telah lulus dan berjaya mengekalkan kecemerlangan dengan pencapaian seorang murid mendapat 7A,2 orang murid mendapat 6A, 6 orang murid mendapat 5A, dan 6 orang murid mendapat 4A. Pencapaian Gred Purata Sekolah ialah 2.02 dan peratusan keseluruhannya ialah 98.68%.
Kejayaan cemerlang ini amat membanggakan pihak ibu bapa, guru-guru, dan sekolah kerana murid-murid SRAB Muar telah mengharumkan nama sekolah, masyarakat,  dan jabatan di arena pendidikan global.

Kejayaan murid-murid SRAB Muar bukan sahaja di dalam arena pendidikan sahaja bahkan di dalam pendidikan ilmiah yang berteraskan ilmu al-Quran dan as-Sunnah. Pembentukan sahsiah murid memerlukan keseimbangan dari segi intelek, rohani, dan jasmani yang berteraskan  perkembangan akidah yang mantap dan menjamin kepimpinan khalifah di atas muka bumi ini.
Justeru itu, untuk merealisasikan Dasar Pendidikan Agama Negeri bersama Dasar Pendidikan Kebangsaan Malaysia, maka diwujudkan bidang  kurikulum dan ko-kurikulum untuk mencapai tahap tersebut.

 Pelbagai kegiatan ko-kurikulum telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan sepanjang tahun mengikut kesesuaian waktu dan masa yang diperlukan  untuk tujuan di atas berdasarkan kerangka kerja yang telah diprogramkan. Di antaranya ialah Temasya sukan Tahunan Sekolah, Kejohanan Sukan MSSD, Pertandingan Catur, Perlawanan  Bola Sepak, Tenis, dan Bola Jaring Anjuran PPD, Perkhemahan Unit Beruniform, Kem-kem Motivasi dan Kem Ibadah, Sambutan-sambutan Hari Keraian serta Tilawah al-Quran dan Pertandingan Ko-kurikulum Agama  Peringkat Zon, Daerah dan Negeri.
Dalam Perujian Tilawah al-Quran dan Pertandingan Ko-kurikulum Agama yang diadakan di Peringkat Saringan, Zon, Daerah dan Negeri, murid-murid sekolah ini kerap mencapai kejayaan demi kejayaan  yang amat  membanggakan  setiap tahun. Begitu juga dalam kejohanan-kejohanan sukan yang dipertandingkan, meskipun secara keseluruhan tidak mendapat tempat yang teratas, tetapi mereka tetap mempunyai semangat kesukanan yang tinggi untuk membawa pulang pingat untuk membuktikan bahawa mereka ini boleh bertanding dan bersaing dengan murid-murid di sekolah lain dalam bidang sukan.

Sepanjang perjalanan SRAB Muar ini, ianya telah menunjukkan era kemajuan yang boleh dicontohi oleh sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian keputusan kurikulum Tahun 6 iaitu UPSR dan SDEA serta kejayaan ko-kurikulum yang memberangsangkan yang  telah dicapai oleh murid-murid di sekolah ini.
Mudah-mudahan Sekolah Rendah Agama Bersepadu Muar akan lebih gemilang, cemerlang , dan terbilang dan menjadi contoh kepada sistem pendidikan di Negara ini. Inilah contoh terbaik yang dapat dibuktikan oleh Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor.

SRAB KE SABK

Pada 14 Ogos 2012 Kerajaan Negeeri Johor telah menandatangi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pendaftaran Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor Sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

                Pada majlis itu, termeterainya perjanjian pendaftaran 8 buah Sekolah Agama Rendah Agama Bersepadu dan 19 buah Sekolah Menengah Agama di negeri ini sebagai SABK di bawah Kementerian Pelajaran.

               Turut berangkat tiba ke majlis berkenaan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

                     Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil dan Mufti Negeri Johor, Datuk M Tahrir Shamsudin.

                  Sultan Ibrahim bertitah, perjanjian persefahaman yang ditandatangani bukan bermakna penyerahan kuasa Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan agama di negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi ia untuk membolehkan Kementerian Pelajaran menyalurkan bantuan dan meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri.


            Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata perjanjian tersebut tidak akan menjejaskan kuasa Sultan Johor, Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Agama Johor dan pihak berkepentingan yang lain.

            "Ini sudah ditetapkan dalam Perkara 17 memorandum persefahaman yang jelas menyatakan bahawa kuasa-kuasa pihak berkepentingan adalah kekal, malah masih mempunyai tanggungjawab terhadap sekolah-sekolah berkenaan," kata beliau. 

Katanya dengan kemasukan sekolah agama negeri Johor sebagai SABK, seramai 684 guru dan 116 petugas sokongan akan diberi peluang menjawat jawatan tetap dan berpencen di bawah Kementerian Pelajaran.

            Melalui perjanjian hari ini, katanya pelbagai kemudahan disediakan kepada guru termasuk latihan, gaji yang kompetitif, kenaikan pangkat, pencen dan pinjaman perumahan.

Bagi murid-murid pula, Muhyiddin berkata selain mendapat pendidikan berkualiti, mereka juga akan mendapat kemudahan seperti bantuan perkapita, bantuan makan asrama, bantuan buku teks sebagaimana yang dinikmati sekolah arus perdana.

          Sehingga kini SRAB Muar telah menerima 4 orang guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia dn juga menerima bantuan kewangan bagi melaksanakan kurikulum sekolah.


         

VISI & MISI



VISI SEKOLAH

MENDIDIK MURID-MURID SUPAYA CEMERLANG 
DALAM PELBAGAI ASPEK UNTUK 
MENCAPAI MATLAMAT WAWASAN 2020


MISI SEKOLAH

MEMBERIKAN PENDIDIKAN YANG BERKUALITI BERDASARKAN FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM DAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN KEPADA SETIAP INDIVIDU (MURID) SECARA SYUMUL DAN BERSEDIA MENGHADAPI CABARAN DALAM MEMENUHI KEHENDAK MASYARAKAT